Jumaat, 11 November 2011

Tidak Terusik Rasa Ini (Bahagian 1& 2)

1

Bukan semuanya akan berakhir dengan kisah gembira seperti yang sering berlaku dalam wayang-wayang gambar. Kisah yang disulam dengan plot yang membunuh perkembangan wataknya sendiri akan mati disitu juga sedangkan watak lain akan terus berkembang.

Senyum ku bukan untuk milik semua orang. Itulah yang selalu disuarakan oleh benak hati Darious setiap kali ada yang memintanya untuk bersikap ceria dan tampak positif pada harinya. Baginya, ceria atau gembira dirinya bukan diukur dengan selebar senyumannya tapi sejauh mana hatinya meraihkan secara solo. Memang benar. Darious tampak seperti semudah gula kapas tetapi sebenarnya, dia serumit segulung benang yang kusut. Tiada siapa pun yang mampu menjejak apa tindakan yang bakal dilakukannya.

“Belum balik lagi? Kerja lebih masa pun, bukan ada kenaikan gaji pun”, tanya James berseloroh sambil menepuk bahu Darious. Suasana pejabat pada masa itu sememangnya telah sunyi dan hanya Darious dan James lagi yang masih duduk di tempat duduk mereka menghabiskan kerja masing-masing. Selesai sahaja waktu pejabat, suasana didalam ruang sewa ditingkat 2 Wisma Wawasan Maju itu menjadi sepi berbeza sekali dengan waktu kerjanya.

Dalam kabur mentafsir samada gurauan ataupun keseriusan kata-kata James itu hanya dibalas dengan senyuman dari Darious. Bukan niatnya untuk bersikap dingin dengan rakan sepejabatnya itu dan James sendiri juga telah mengenali Darious sejak bertahun lamanya. Sepanjang perkenalannya dengan Darious, James sentiasa melihat Darious sebagai seorang yang sangat yang banyak berahsiah.

Suasana ruang pejabat itu sunyi sepi kembali setelah James meninggalkan Darious yang sedang menyiapkan tugasannya yang bukan berkadar segera. Darious cuma tidak mahu untuk menangguhkan kerjanya kerana dia tahu keesokan harinya, tugasan baru pula akan menggunung di mejanya. Memikirkan hari esok sebagai hari baru tidak pernah ada dalam diari hidupnya, sebaliknya hanya wujud perkara yang sama sahaja. Dia sendiri menyedari bahawa masa depannya masih belum terlukis dalam karier yang dilaluinya sekarang ini.

Langkah Darious dipercepatkan untuk meninggalkan pejabat itu. Dia belum lagi menjamah makan malamnya. Jam tangan menunjukkan tepat jam 7.45PM. Bukan kali pertama dia makan malam lewat seperti malam ini. Kereta dipandunya terus menuju ke Medan Selera Ketam yang menjadi tempat kunjungan utamanya setiap malam. Bukan apa, lokasi dan menu santapannya juga sangat sesuai dengan lampias selera Darious.

Setibanya dia disana, terus menuju ke ruangan bufet. Menu bufet makan malam ini tampak memikat hatinya lagi untuk setia menjamu selera disini. Selesai membayar makanan dikaunter, matanya menerawang mencari tempat duduk. Tempat biasanya telah disinggahi oleh sebuah keluarga. Namun, tidak jauh daripada tempat itu, ada tempat kosong. Darious tidak tunggu lama lagi. Tempat kosong yang ada terus diisi ruangnya. Dia lapar benar malam itu.

Makanan yg diambilnya tadi dijamah sesuap demi sesuap. Tidak ada sebab untuk dia mengejar masa makannya dan balik ke rumah jika hanya untuk melayan jiwa keseorangan disana. Matanya menangkap satu jelingan di meja sebelah. Bukan kebiasaanya dipandang dengan pandangan begitu. Dia seakan kenal lirikan mata itu. Jauh sekali untuk membanggakan diirinya yang selayak bergelar pramugara berjaya Calvin Klien ataupun Versace itu untuk menjadi tumpuan dara & teruna tiap kali dia melangkah ditempat umum. Darious memang lelaki tampan, bergaya, kurang maskulin (*selayak trend kelelakian masuk abad ke 22 ini) dalam penyampaian bahasa modennya ialah metroseksual.

Lirikan mata itu lama-lama membibitkan senyuman. Darious tetap tenang dengan dugaan mudah itu. Pasangan pacaran itu juga sedang menghabiskan masa terluang mereka di Medan Selera Ketam itu. Si gadis sedang menelan hirup jus lobak yang sudah hampir setengah. Sedangkan si bujang itu masih lagi menatap susuk imej Darious dari mejanya. Hanya selang beberapa meja sahaja pun, jika bercakap dengan nada perlahan pun, butir kata masih lagi mampu disuarakan semula pada yang mencuri dengar.

Lagak Darious yang tidak teruja sedikit pun dengan perhatian diberikan itu menyebabkan lelaki misteri itu memberanikan diri melangkah ke mejanya. Kini tidak lagi tenang gelora dihati Darious, dibadai tsunami hatinya apabila ada bahtera berani menongkah arus dilautan ganas ini. Ayuh teruskan saja badai ini.

“Darious?”

“Ya”.Jawabnya seringkas soalan ditanya kepadanya. Darious beranikan diri mengangkat pandangannya memandang gerangan bersuara. Suapan terakhirnya tersekat. Jika dibenarkan, memuntahkan semula pun dia tidak sanggup, menelannya pun dia tidak berdaya. Dia terkedu dengan susuk dihadapannya itu. Dia kenal benar dengan jejaka ini.

“Lama tak dengan khabar dari kamu. Buat apa sekarang ni?Last aku dapat tahu tentang kau, yang kau baru balik dari Jakarta. Lepas tu saya tak dengar apa-apa lagi tentang kamu.” Hakimi adalah nama lelaki yang tadinya berdiri dihadapan ku dan kini duduk bersebelahan dengan ku. Dia bukan lagi seperti asalnya. Melihat Hakimi pada saat ini, seperti melihat rerama biru keluar dari kepompongnya.

“Aku tidak lama di Jakarta tempoh hari. Syarikat tempat aku bekerja sekarang menghantar aku kesana untuk projek silang budaya. Cross exposure. Tidak tahan lama disana, aku minta ditukarkan semula ke Malaysia. Kau pula? Aku dengar kau dah pindah rumah. Mengapa?”

“Sesak aku tinggal kat dalam rumah tu, Yus. Semuanya buat aku teringatkan pada kau. Aku rindu dengan kau.” Seraya Hakimi memegang tangan Darious. Goose-bump. Darious tidak cair hanya dengan bujukan itu. Kenangan yang lama hanyalah satu pentasrama sedetik sahaja yang hanya akan tetap menjadi sisa-sisa memori.

“Hentikan lah, Kimi..Aku dah lupakan semua cerita tentang kita”Darious tidak melepaskan pegangan tangan Hakimi dengan keras. Dia mahu Hakimi sendiri berasa yang dia tidak terasa selesa lagi untuk disentuh dikhalayak ramai lagi.

“Kamu dah ada tunang, Kimi. Sekarang bukan seperti dulu lagi” Darious bangun dan meninggalkan Hakimi yang masih memandangnya dengan pandangan hampanya. Darious melangkah lewat depan meja Hakimi yang masih diisi oleh tunangan Hakimi. Gadis itu memandangnya lewat dengan senyuman sahaja. Kasihan. Dia terhimpit dicelahan dilema tunangannya yang masih keliru tujuan tujahannya dimalam pertama nanti.

Deruan kereta mendayu keras meninggalkan ruang letak kereta Medan Selera Ketam itu. Darious cuba untuk menenangkan semula gelojak hatinya yang rancak mengacah-acah perasaannya tadi. Lampu –lampu jalan yang berselang seli malap menyebabkan tumpuan pemanduan Darious hanya bertumpu penuh kepada lampu keretanya. Tidak mudah memandu kereta diwaktu malam baginya kerana traumanya terhadap kemalangan yang pernah terjadi dihadapannya membuatkan dia begitu teliti dalam pemanduan.

Mengenangkan semula detik 10minit yang lalu, ternyata bukan mudah untuk dia berdepan sekali lagi dengan Hakimi. Terlalu banyak perkara yang sukar dijelaskan dalam huraian hubungannya dengan lelaki itu. Pahit manis dilalui bersama untuk sekian waktu dan disebabkan jurang takdir yang memutuskan pertalian yang masih dianggapnya tidak pernah terputus rasmi. Andai masa diundurkan pun, belum pasti rekod memori itu akan terhenti disaat kemanisan itu.

2

Handphone berbunyi. Lagu pop Justin Bieber berkumandang. Darious baru siap mengemas teratak bujangnya itu. Pemilihan konsep moden dan perabot ala-ala hiasan butik sebagai citra hiasan dalamannya meransang keperibadian Darious agar lebih bersemangat memulai hariannya. Di penghujung minggu seperti ini, sememangnya tidak lebih daripada pukul 10pagi baru dia bangkit dari perbaringan. Misi balas dendam dengan 5 hari sebelumnya yang bergelumang dengan jadual kerja harian.

“Hello..Buat apa sekarang ni??” Suara bertanya ringkas. Hati Darious bengkeng seketika. Amarah pagi-pagi macam ini buat pintu rezeki tertutup. Dia bersabar.

“Hello..emmm, yaa..baru bangun ni. Siapa ni?” Silapnya sendiri kerana menjawab panggilan tanpa melihat nama pemanggil di skrin handphone.

“Hakimi ni. Oh, maaf ganggu kau. Ingatkan ko dah bangun tadi. Rupanya masih macam dulu lagi.” Sekali lagi hatinya membengkak. Tidak ada lagi perasaan excited bila dapat panggilan daripada orang bernama Hakimi ini. Persoalan dan prasangka timbul berganti ganti didepan kotak fikiran.

“Dapat dari mana nombor aku ni, Kimi?”

“Selena yang bagi dengan aku. Aku minta dengan dia tadi.”Satu-satunya adik perempuan Darious yang menjadi rujuk penama kepada semua perkara pada pagi ini. Bukan salahnya. Selena tidak pernah mengetahui sejauhmana hubungannya dengan Hakimi. Hakimi diperkenalkan Darious kepada keluarganya adalah hanya sebagai kawan sahaja.

“Ada apa hal, Kimi?” Nadanya dikawal sebaik mungkin. Putus cinta bukan bermakna putusnya tali persahabatan. Jauh sekali hendak mencari musuh.

“Jom sarapan” Hah, soalan ini yang Hakimi tanyakan pada Darious di pagi minggunya. Ternyata bukan semua mampu keluar makan bersama dengan bekas kekasih. Kekok dan tiada bersebab lagi.

“Aku tak dapat keluar lah, Kimi..emm...Kejap lagi Anita akan datang, nak ajak keluar makan lunch. Dia dah janji dengan aku khamis yang lalu lagi.” Terpancul mudah alasan itu dari bibir Darious.Tiada pasal-pasal Anita, rakan rapatnya semasa universiti dahulu menjadi penyelamat keadaan. Sehingga kini, Anita lah yang akan menyokong Darious dalam apa jua keputusan yang dibuat olehnya. Termasuklah hal Darious bersama dengan Hakimi dahulu juga diketahui oleh Anita.

“Oh..Kalau macam tu, tak apa lah..Aku ajak orang lain temankan aku.” Sayu kedengaran daripada nada Hakimi. Hati Darious lantas diruntun rasa bersalah kerana menghampakan harapan jejaka ini.

“Napa tak ajak tunang kau keluar makan saja?” Tajam soalan Darious. Dialunkan nada soalannya itu agar tidak sedikit pun berbaur cemburu atau sinis. Pertemuannya tidak sengaja dengan Hakimi bersama tunangnya, Dira di Anjung Selera Ketam sekitar tiga minggu lalu masih lagi segar diingatannya. Semalaman hatinya berbalam rasa pedih dan sakit yang teramat. Kuat rasa cintanya terhadap Hakimi itu masih kuat sedangkan terang-terang hubungan mereka tidak lagi bernama.

“Kami dah putus tunang, Yus. Okaylah, aku sedang driving ni. Lampu hijau dah. Aku call kau balik nanti.”

Putus tunang? Apakah itu frasa yang aku dengar sebentar tadi? Mengapa mereka putus tunang sedangkan hubungan kami juga diputuskan kerana ikatan hubungan tunang itu juga. Monolog dalaman Darious tidak henti-henti bergempita. Tiada sebab untuk Hakimi ataupun Dira memutuskan pertunangan mereka kerana sememangnya meraka seolah-olah ciptaan pasangan dari syurga.

Bingkas segera dari perbaringan, Darious bergegas ke bilik air. Persoalan tadi terus mengejarnya seolah bermohon untuk Darious mencari tahu sebab musabab perpisahan itu. Namun begitu, mengambil tahu urusan orang lain bukanlah resamnya. Dari sudut lain, perasaannya meronta-ronta berkehendakkan ulasan persoalan itu.

“Aah, bukan urusan ku lagi dalam kehidupan mu, Kimi.” Darious bercakap sendiri dihadapan cermin bujur dibilik airnya. Ditiliknya dalam redup matanya yang sudah segar bertemu air tadi. Nafasnya juga sudah segar dan sedia untuk menjamah bibir manapun yang sedia untuk berkucupan. Ada sesuatu yang terselindung disebalik mata itu. Dia tahu tetapi bukan mudah untuknya membiarkan orang lain turut membaca rahsia tersilat disebalik redup matanya.

Darious tahu, dia mampu berasa gembira untuk hidup bersendirian sahaja. Hidupnya setelah berpisah dengan Hakimi amat memberi kesan dalam kehidupannya. Kini, Darious hanya tahu bahawa kegembiraan dan kebahagian itu hanyalah milik individu dan bukannya satu kompromi dengan mana-mana insan lain.

Selesai urusan dibilik air, Darious bersiap untuk keluar. Janjinya dengan Anita perlu ditunaikan. Dia masak benar dengan perangai Anita. Tidak pernah suka orang datang lewat yang membuatnya menunggu, dan Darious juga suka untuk datang lewat. Jika dia rindukan bebelan ibunya, dia akan buat Anita menunggunya 5 minit. Dia sangat sayangkan Anita. Teman tapi mesra.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan