Rabu, 11 Mei 2011

Harga Gula Naik 20Sen = Pengekang Sindrom Obesiti Rakyat Malaysia

Hari ini harga gula telah dinaikkan lagi sebanyak 20sen. Mungkin kerajaan berfikir ini adalah jalan terbaik untuk mengekang betapa giatnya sindrom obesiti ini menular dalam institusi komuniti kita pada hari ini. Tanpa mengira taraf hidup, ras keturunan mahupun usia, penyakit ini seakan menjadi mimpi buruk kepada sesiapa juga. Walaupun penyakit obesiti bukanlah musibah yang sengaja diundang, tetapi sudah menjadi sinonim untuk kewujudannya seiring dengan arus kemodenan yang turut mempengaruhi budaya corak hidup manusia.

Gula bukanlah menjadi sandaran kepada punca masalah obesiti ini secara total, tetapi sebab-sebab lain juga. Akan tetapi, tabiat pemakanan dan kurangnya bersenam dikalangan rakyat Malaysia menjadi punca utama betapa besarnya masalah ini kepada kita pada hari ini. Sudah tidak terbendung lagi cara hidup tidak sihat ini apabila media juga menjadi agen penting dalam mempromosikan pengiklanan makanan-makanan ringan seperti keropok. Iklan makanan ringan sangat mudah mempengaruhi golongan muda yang suka pada kesegeraan dan perlu diingatkan juga iklan makanan ringan ini tidak lagi memokas tumpuan pasaran kepada kanak-kanak. Sasaran pasaran mereka lebih meluas dengan menyasarkan golongan remaja juga sebagai pengikut.

Media massa dalam cabang bagaimanapun seharusnya memainkan peranan paling penting dalam mencorakkan minda masyarakatnya. Pengaruh yang ada digunakan hanya terhad untuk tujuan manfaat kepada pengguna sahaja dan bukan untuk meletakkan mereka dalam dilema untuk menjadi penilai hakiki kepada baik dan buruk dengan apa yang disuakan kepada pengguna. Berbalik kepada isu makanan ringan, mungkin sudah sampai masanya kerajaan untuk mengambil langkah untuk mengharamkan pengiklanan makanan ringan didalam media elektronik (lebih dekat dengan pengguna) dan biarkan hanya tertumpu kepada media cabang lain sebagai usaha untuk mengekang pengaruh iklan ini kepada minda masyarakat. Jika iklan rokok seperti Malboro, Dunhill & Perillys pernah menghiasi siaran televisyen kita belasan tahun dahulu dengan memaparkan imej seorang perokok itu tampak bergaya tidak lagi dapat dilihat dengan mudah apabila kerajaan mengharamkan pengiklanan produk hasil tembakau itu didalam media. Maka, jika rokok dapat ditegah penyiaran iklannya, mengapa tidak dengan makanan ringan.

Takrifan senaman dewasa ini perlu ditakrifkan semula kerana tidak ada lagi peruntukan masa paling sesuai untuk dikaitkan dengan perlakuan yang membabitkan senaman. Rasionalnya pada hari ini, kita tidak lagi ada masa untuk kesihatan tubuh sendiri melainkan dengan sogokan ubat-ubatan serta suplement yang bernilai ratusan ringgit. Jaminan untuk tubuh hanya diikat disandarkan pada ubatan ini sahaja sedangkan tubuh mahukan pendedahan bercorak fizikal dan bukannya dalaman. Tolak tepi dengan isu kesan sampingan ubatan ini tetapi melihat kepada sejauhmana kebergantungan kita kepada ubatan ini. Senaman puluhan tahun lalu dikategorikan sebagai apa jua tindakan fizikal yang meransang kepada pembakaran kalori dan mengaktifkan metabolisme dan dikaitkan dengan aktiviti bersukan seperti bermain bola sepak, renang,badminton dan sebagainya. Mungkin senaman pada hari ini bolehlah dikira dengan hanya berjalan kaki ke tempat kerja (pilihan alternatif untuk menaiki kenderaan), menaiki tangga (pilihan alternatif untuk menggunakan lift), mengemas rumah dan sebagainya. Tidak banyak kesan diberikan untuk satu-satu sesi ini tetapi jika dilakukan dengan konsisten, impaknya memberikan kesan yang berpanjangan. Namun begitu, terdapat isu yang mungkin akan timbul pada masa akan datang apabila sport-spots juga semakin berkurangan dikawasan bandar apabila pemaju dan majlis pembandaran lebih mengutamakan aktiviti ekonomi yang mampu menjana prospek jutaan ringgit. Masyarakat bandar akan terus dengan budaya bersenam cara moden mereka ini tanpa sokongan daripada pihak yang bertanggungjawab.

Belum bertemu konklusi kepada permasalahan ini, kesinambungannya tidak akan berhenti disekerat jalan apabila siapa yang ada pada hari ini tidak menunjukkan bahawa kita serius dalam menyelamatkan masyarakat kita daripada terjebak dalam penyakit ini. Petanda kemajuan yang teramat yang menyebabkan manusia menjadi sangat malas dan terasa seperti raja yang menanti untuk disuapkan oleh kapitalis-kapitalis ekonomi yang hanya mahukan wang mereka untuk berbelanja makan selesa sahaja.