Cukup sukar saya menolak permintaan daripada jawatankuasa Blog Anugerah Bestari yang meminta saya untuk berkongsi pengalaman pahit manis sepanjang berada di Kolej Anugerah Bestari yang masih tersemat segar dalam simpanan memori hidup.
Nama diberi Rommell Ray Maidin. Berasal dari Sandakan, Bandaraya Alam Semulajadi di Pantai Barat Sabah. Alumni dan Mantan JAKMAS Kolej Anugerah Bestari. Graduasi dengan Ijazah Sarjana Muda Perniagaan dengan Kepujian (Pengurusan Perhotelan). Saya yang sebelum ini tinggal & bersekolah disebuah sekolah yang berada dipedalaman bukanlah perkara mudah untuk saya menyesuaikan diri dengan suasana kampus yang sebelum ini hanya dimimpikan sahaja semasa melihat rancangan Dunia Baru TV3. Pengalaman pertama kali keluar jauh dari Sandakan juga banyak kali saya impikan dan tawaran untuk menyambung pelajaran ke Universiti Malaysia Sabah adalah satu tawaran yang tidak dapat ditolak. Walaupun, rakan-rakan sekolah lain yang berpeluang untuk menyambung pelajaran mereka ke universiti agak terkemuka di Semenanjung Malaysia, itu tidak sedikit pun terkesan dihati tatkala melihat kegembiraan yang sangat jelas terpancar diwajah tiap ahli keluarga saya. Harapan mereka semoga saya sebagai anak sulung dalam keluarga juga akan mampu menjadi pendorong kepada adik-adik serta saudara-mara lain untuk terus berusaha mengejar impian ke menara gading.
Minggu Suai Mesra menjadi permulaan kepada saya untuk menyesuaikan diri bergelar seorang mahasiswa. Era Minggu Suai Mesra yang saya lalui pada masa itu, bukanlah “semanja” seperti yang adik-adik junior kita lalui sekarang ini. Sekarang ini semuanya kena jaga, seingat saya bas ulang alik masa tersebut ada satu saja untuk setiap kolej. Dan, kami tidak akan dilepaskan sekiranya tidak lagi dapat menghafal Lagu Bertekad Cemerlang dan juga latihan untuk Majlis Aku Janji. Ingat lagi, “Abang Siswa” masa tu memang sangat garang dan semuanya akan kecut perut bila tiap kali dia jerit ‘SISWA’.
Latihan dalam Kumpulan yang dijalankan pada masa itu sangat banyak. Kami berpeluang untuk lebih mengenali ahli dalam kumpulan juga. Dengan ahli yang berasal dari kolej kediaman sama, saya masih lagi ingat semua nama ahli kumpulan saya pada masa itu. Pendedahan pertama yang menunjukkan walaupun kami berasal dari negeri yang berlainan dengan loghat & budaya yang tersendiri, kami masih boleh lagi bekerjasama dalam satu kumpulan. Kehidupan kolej yang harmoni dengan budaya sebenginilah yang akan menyebabkan siswa/i kolej sihat fizikal & mental.
Malam bersama Kolej iaitu bersama dengan Pengetua Kolej AB pada mas itu, Dr. Suhaimi Yasir telah mengingatkan kepada semua freshie bahawa KOLEJ KEDIAMAN ADALAH SATU KEMUDAHAN, BUKAN HAK. Perkara itulah yang perlu dipegang oleh setiap penghuni kolej sebenarnya. Pada masa itu dengan sistem cop pasport masih lagi digunakan, sebagai salah satu merit untuk mengelakkan nama kita disingkirkan daripada senarai pelajar yang mendapat penginapan pada semester akan datang. Namun masih berlaku kelemahan bila terdapat pelajar yang menyalahgunakan sistem tersebut dengan datang program sebagai tetamu datang dan pergi hanya untuk mendapatkan cop tersebut. Jangan lihat kolej hanya sebagai asrama tanpa warden, anda ke kuliah dan selesai kuliah, singgah kafe untuk makan dan balik bilik tidur. Kolej kediaman sebenarnya menjadi permulaan kepada segalanya kerana kebanyakan masa kita seharian ialah berada di kolej. Saya tidak menafikan zaman saya, ada usaha untuk menjadikan kolej kediaman sebagai satu tempat paling selesa untuk semua mahasiswa untuk bergaul sihat, permulaan kepada perkembangan peningkatan prestasi akademik. Namun, hasilnya tetap gagal apabila mentaliti mahasiswa sendiri yang sukar untuk menyokong usaha itu bila terus hidup dalam sifat individualistik. Perkara sebenginilah yang sepatutnya dikikis daripada pemikiran siswa/i zaman ini kerana ianya hanya akan merencatkan perkembangan sihat dalam kolej kediaman kita yang sepatutnya menjadi ruang terbaik untuk meningkatkan akademik, ruang selesa untuk membuat assignment, perbincangan kumpulan ataupun ruang peningkatan kerohanian. Jadikan kolej kediaman kita seperi rumah kita. Kita sentiasa mahukan kawasan perumahan kita menjadi terbaik dan selesa kan?
Kenangan paling manis bagi saya berada di Kolej Anugerah Bestari adalah menyertai program-program AB yang dianjurkan oleh JAKMAS. Program pertama dan temuduga pertama saya ialah Debat Piala Naib Cancelor (DPNC) 7 yang pada masa itu dikendalikan oleh Saudara Azwatir Othman, EXCO Akademik & Keterampilan. Sewaktu sekolah menengah saya sememangnya terlibat dengan seni pengucapan umum seperti debat dan pidato, namun atas dasar minat lebih kepada pengendalian program. Debat Piala Naib Cancelor adalah antara program wajib tahunan bagi UMS dan merupakan program mega Kolej AB sehingga ke hari ini. Penyertaan saya sebagai AJK Pertandingan Debat Bahasa Melayu pada DPNC 7 sungguh saya tidak sangka akan membawa saya kepada posisi Setiausaha program DPNC 8 (Sekretariat EXCO Akademik & Kepimpinan) dan akhirnya Pengerusi Program DPNC 9 sebagai EXCO Akademik & Kepimpinan apabila berjaya memenangi kerusi pilihanraya Kolej AB Sesi 2008/2009. Peluang menyertai program yang dianjurkan oleh JAKMAS tidak seharusnya dilepaskan oleh rakan siswa/i kerana terlalu banyak kemahiran insaniyah seperti kemahiran berkomunikasi, kemahiran berucap, kemahiran membuat keputusan dan banyak lagi. Penyertaan program kolej menjadikan anda lebih bertanggungjawab dengan diri sendiri dan mendidik anda komited dengan tugasan kerana jika dibandingkan dengan program peringkat sekolah mahupun MPP yang saya rasakan terlalu mudah kerana semuanya tersedia. Pada zaman saya berprogram, ada sesi mesyuarat program sehingga pukul 3pagi, dalam mesyuarat sempat ada sesi tangis menangis, ada yang pernah jalan kaki dari SKTM ke Cancelori untuk follow up dengan Bendahari, surat-surat serta proposal yang terpaksa diperbaiki sehingga tiga kali oleh Timbalan Pengetua Kolej, En. Talib Abdullah Shani (nama beliau lah paling saya hafal kerana hanya salah ejaan sahaja, kami terpaksa re-edit 10surat jemputan) untuk memastikan kami mengikut format yang betul. Semua ini menjadi pahit manis berprogram dan secara jujurnya, budaya kerja yang saya amalkan sekarang ini kebanyakkannya adalah daripada program-program JAKMAS yang banyak memastikan anda on-time, organized & perfectionis. Kemahiran sebengini anda tidak akan dapat perolehi dalam dewan kuliah ataupun kelas tutorial kerana anda perlu mempelajarinya secara praktikal. Namun begitu, sedaya upaya seimbangkan komitmen anda antara akademik dan juga berprogram. “Hantu Program” gelaran bagi orang yang terlalu banyak mengikut program pada masa itu dan saya menjadi salah seorang daripada ramai lagi.Selama tiga tahun berada di UMS saya telah terlibat dengan semua peringkat program termasuk sekolah, MPP dan UMS sendiri dengan jumlah keselurahan hampir 15 program. Namun saya masih memilih program JAKMAS adalah paling terbaik antara semuanya. Program terakhir saya ialah program Kem Pemantapan Kepimpinan Mahasiswa Kolej Kediaman AB 2011 seliaan En. Fauzi Sarjono dan saya bertindak sebagai Ketua LDK iaitu selepas saya bergraduasi dan terpaksa mengambil cuti khas demi komitmen untuk program ini. Begitulah tinggi kecintaan saya kepada Kolej AB.
Kolej AB banyak membentuk keperibadian saya secara total. Pengalaman mengenali rakan-rakan yang berbilang kaum, agama dan resam yang tersendiri banyak mengajar saya bahawa sebenarnya kita semua adalah sama sahaja. Gagasan 1Malaysia jelas terpancar dalam kolej masa itu apabila saya boleh melihat rakan-rakan tugasan kumpulan saya yang berbilang kaum, anda boleh melihat ada rakan sebilik Cina dan India pergi makan bersama di kafe tanpa ada rasa kekitaan atau kesukuan. Bagi saya sendiri, saya ada adik beradik angkat sendiri semasa berada di UMS kerana budaya JAKMAS yg utuh nilai kekeluargaannya pada masa tersebut. Saya ada abang dan kakak yang berasal daripada Kelantan, Johor, Pahang, Terengganu dan Perak dan saya sebagai seorang Sabahan. Pada mulanya, timbul rasa rendah diri dan kurang percaya pada perhubungan kekeluargaan ini kerana saya sendiri sahaja yang berasal dari Sabah dan yang lain dari Semenanjung, dan perbezaan agama juga menyebabkan saya agak pasif pada awalnya. Namun, jangkaan itu sangat tersasar jauh dari hakikatnya apabila hubungan adik beradik yang kami jalani di JAKMAS dulu masih lagi terjalin sehingga kehari ini. Panggilan ‘along’, ‘angah’, ‘uda’, ‘alang’ dan ‘acik’ menjadi terlalu mesra sehingga saya sendiri tidak merasa perbezaan dari mana segi pun. Semasa berada di kerusi JAKMAS juga, saya muncul sebagai JAKMAS pertama BUKAN ISLAM Kolej AB selepas beberapa tahun kerusi itu tidak dipenuhi. JAKMAS AB, JAKMAS MASJID. Itulah sinonimnya JAKMAS AB zaman saya dinakhodai oleh Saudara Mohammed Fanshuri b. Badaruddin, Yang diPertua JAKMAS ketika itu, perkara itu bukanlah satu perkara negatif, maka, saya sebagai salah seorang daripada mereka, tidak pernah terasa hati kerana pada masa itu semangat kami berkobar-kobar untuk menjaga kebajikan pelajar kolej kediaman. Pada awalnya sudah tentu saya merasakan janggal dan dalam mesyuarat pertama pun saya sudah menyuarakan tentang melankolik saya dan ternyata saya langsung tidak pernah disisihkan dalam apa jua perkara. Saya sedia dan selesa memakai baju melayu dalam majlis-majlis tertentu lengkap bersongkok dan pengalaman terindah saya juga apabila turut berada d Masjid UMS untuk bersahur dan melihat suasana masjid selepas qiamullail. Profesionalisme kunci segalanya. Didalam kolej kediaman, sikap keterbukaan anda untuk menghormati dan toleransi sesama rakan adalah paling penting. Berpeganglah ‘dimana bumi dipijak, disitu langit dijunjung’. Jangan terlalu individualistik sehingga anda tidak sedar rakan terbaik anda mungkin bukan berada dikalangan orang yang sama loghat atau sama daerah dengan kamu!
Sebagai alumni Kolej AB saya sangat bersyukur ditempatkan di kolej ini kerana menjadi perantara kepada semuanya. Dekat dewan kuliah (masih boleh jalan kaki kalau tiada bas waktu malam), dekat dengan stadium (kalau rajin nak berjogging), perhentian pertama bas OMO kalau mahu ke bandar Kota Kinabalu atau 1Borneo..Semasa berada di Tahun 2 & 3, saya tinggal di Kg. B, Blok B, bilik B.11, sebuah bilik yang agak selesa bagi saya kerana lokasinya membolehkan saya boleh memilih untuk makan di kafe AB atau Kafe CD dan Blok B sendiri sentiasa menjadi Blok Terbersih. Sehingga hari ini terlalu banyak pembaharuan positif yang berlaku dalam Kolej AB yang sebelum ini kami tidak sempat merasainya. Percayalah, setelah anda semua bergraduasi, anda akan rindu dengan Sabah, anda akan rindu dengan rakan-rakan sebilik kamu, anda akan rindu dengan kafe AB yang berasap (masih lagikah?) Walaupun, telah bekerja pada hari ini, saya sentiasa sedia untuk menyumbangkan apa jua demi Kolej AB yang tercinta dan dikenang selamanya. Saya sayang Kolej AB!